Skip to main content
1. Bagaimanakah saya hendak memohon program tajaan / kemudahan cuti belajar dari JPA?

Iklan permohonan program tajaan / kemudahan cuti belajar JPA akan dikeluarkan dari semasa ke semasa dalam laman sesawang https://esilav2.jpa.gov.my/

3. Pendaftaran bagi bidang pengajian saya hanya dijalankan pada bulan September setiap tahun. Bagaimanakah jika saya belum/sedang menghadiri kursus persediaan Ijazah Kedoktoran/Ijazah Sarjana semasa pendaftaran tersebut sedang berlangsung?

Hadir dan lulus Kursus Persediaan Ijazah Kedoktoran/Ijazah Sarjana merupakan syarat wajib bagi melayakkan anda ditawarkan cuti belajar dengan HLP. Anda dinasihatkan untuk memohon penangguhan pengajian daripada institusi pengajian tersebut sehingga keputusan Kursus Persediaan Ijazah Kedoktoran/Ijazah Sarjana diperolehi. Jika tarikh pendaftaran pengajian anda lebih lewat daripada yang dibenarkan (sepertimana yang dinyatakan di dalam surat tawaran bersyarat), sila maklumkan perkara tersebut kepada BMI dengan segera.

4. Bolehkah saya menerima tawaran pengajian jika pengkhususan yang ditawarkan oleh Universiti berbeza seperti tawaran JPA?

Anda hendaklah memaklumkan secara rasmi perkara ini kepada pihak Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam (BMI, JPA) berserta dokumen sokongan (surat tawaran dan justifikasi). Keputusan untuk menerima tawaran Universiti berkenaan adalah tertakluk kepada kelulusan BMI, JPA.

5. Tempoh tajaan yang diluluskan oleh JPA sebagai penaja adalah lebih singkat daripada tempoh pengajian yang ditawarkan oleh Universiti. Sebagai penaja, bagaimanakah JPA menentukan tempoh tajaan yang diluluskan kepada saya?

Penentuan tempoh tajaan oleh JPA adalah berasaskan kepada struktur pengajian bagi program / negara serta mode pengajian yang akan diikuti oleh penerima tajaan HLP.

6. Bolehkah saya menukar mod pengajian pada bila-bila masa jika saya berhasrat sedemikian?

Anda tidak dibenarkan untuk menukar mod pengajian sama ada sebelum atau semasa pengajian. Mod pengajian adalah berdasarkan permohonan yang telah anda kemukakan semasa permohonan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

7. Bolehkah saya menukar bidang atau pengkhususan bidang sebelum atau semasa pengajian?

Anda tidak dibenarkan untuk menukar bidang atau pengkhususan bidang. Penentuan bidang adalah berdasarkan permohonan anda.

8. Bolehkah saya menangguh pengajian sekiranya diberi pemangkuan jawatan?

Tidak boleh. Anda akan dianggap sebagai menarik diri daripada pengajian sekiranya meninggalkan pengajian untuk menerima pemangkuan jawatan.

9. Bolehkah saya membuat tuntutan perjalanan bagi perjalanan pergi dan balik untuk tujuan pendaftaran sahaja sebelum memulakan pengajian?

Tidak boleh. Tuntutan perjalanan hanya dibenarkan bagi tujuan memulakan pengajian (perjalanan sehala dari rumah/pejabat ke tempat pengajian sebelum memulakan pengajian) dan tamat pengajian (perjalanan sehala dari tempat pengajian ke rumah/pejabat setelah tamat pengajian).

10. Apakah asas yang boleh dipertimbangkan untuk kelulusan permohonan pelanjutan pengajian dan bilakah tempoh terakhir untuk saya kemukakan permohonan pelanjutan pengajian?

Sebarang permohonan pelanjutan hanya akan dipertimbangkan jika melibatkan hal kesihatan dan perubahan struktur pengajian sahaja. Setiap permohonan mestilah dikemukakan selewat-lewatnya tiga (3) bulan sebelum tarikh tamat tajaan.

11. Bolehkah saya menjalankan sebarang tugas rasmi atau aktiviti yang dapat menjana pendapatan sampingan semasa dalam pengajian?

Anda tidak dibenarkan untuk menjalankan sebarang tugas rasmi atau aktiviti yang dapat menjana pendapatan sampingan semasa dalam pengajian.

12. Di manakah saya perlu melapor diri setelah tamat pengajian?

Bagi Pegawai Perkhidmatan Gunasama, anda perlu melapor diri di BMI, JPA setelah tamat pengajian. Bagi Pegawai Perkhidmatan Bukan Gunasama, anda dibenarkan melapor diri di Jabatan dan seterusnya memastikan Ketua Jabatan mengemukakan salinan surat pengesahan lapor diri kepada BMI, JPA dengan segera.