Skip to main content

Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong (BYDPA)

Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong (BYDPA) atau dikenali sebagai King’s Scholarship bertujuan untuk menaja warganegara Malaysia yang cemerlang di dalam bidang akademik dan bukan akademik bagi melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Lanjutan (Sarjana dan Kedoktoran) di universiti dalam dan luar negara secara sepenuh masa.

Objektif utama program ini untuk memberi pengiktirafan kepada warga Malaysia yang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah diri untuk melanjutkan pengajian dalam bidang-bidang yang akan memberi manfaat kepada Negara. BYDPA merupakan program biasiswa berprestij berbanding program-program penajaan lain dengan kelebihan daripada segi kadar biasiswa yang ditawarkan, syarat-syarat kelayakan dan penempatan di universiti-universiti terkemuka dunia. Penerima BYDPA juga tidak terikat untuk berkhidmat dengan Kerajaan tetapi dikehendaki berkhidmat di Malaysia dalam sebarang sektor setelah menamatkan pengajian.

Syarat Umum
  • Warganegara Malaysia; dan
  • Berumur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari tahun penawaran.

*Tertakluk kepada dasar penajaan semasa

Syarat Khusus

(a) Mempunyai keputusan akademik yang amat cemerlang iaitu:

(i) calon Sarjana: Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh Kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya; atau

(ii) calon Kedoktoran: Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana yang diiktiraf oleh Kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya;

Garis Panduan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong, Bilangan 1 (Januari 2023), Jabatan Perkhidmatan Awam

(b) telah mendapat tawaran tanpa syarat (unconditional offer) atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa dalam tahun penawaran di institusi pengajian tinggi yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian;

(c) pengajian bagi peringkat Sarjana adalah secara mod penyelidikan sahaja yang mewajibkan penyediaan kertas penyelidikan atau disertasi atau tesis.

(d) terlibat dalam penghasilan kerja-kerja yang mengandungi elemen kreatif dan inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya iaitu:

(i) Calon Sarjana: Penglibatan calon secara aktif adalah satu kelebihan; atau

(ii) Calon Kedoktoran: Penglibatan calon adalah wajib.

*Tertakluk kepada dasar penajaan semasa

Bidang Pengajian
  • Sains dan Teknologi
  • Ekonomi
  • Undang-Undang
  • Kewangan Islam

*Tertakluk kepada dasar penajaan semasa