Skip to main content

Program Ijazah Lanjutan (PIL)

Program ini ditawarkan kepada pelajar cemerlang lepasan Ijazah Pertama tajaan JPA untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dalam pelbagai bidang di universiti yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Syarat Umum

(a) Warganegara Malaysia berumur tidak lebih 26 tahun pada tahun permohonan;

(b) Pelajar merupakan pelajar tajaan JPA semasa peringkat Ijazah Pertama;

(c) Pelajar telah mendapat tawaran bersyarat / tanpa syarat daripada universiti dan mengikuti pengajian secara sepenuh masa;

(d) Pelajar yang telah memulakan pengajian perlu mempunyai baki tempoh pengajian sekurang-kurangnya 9 bulan;

(e) Mempunyai kesihatan yang baik iaitu bebas daripada sebarang penyakit kronik serta disahkan sihat untuk meneruskan pengajian;

(f) Ibu dan / atau bapa tidak di senarai hitam oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang oleh JPA;

(g) Tidak menerima bantuan kewangan / tajaan dari mana-mana pihak di peringkat pengajian yang sama;

(h) Pelajar mestilah telah menamatkan pengajian dalam masa yang ditetapkan dan tidak pernah membuat sebarang pelanjutan bagi pengajian semasa di peringkat Ijazah Pertama;

(i) Pelajar semasa memohon dan sepanjang tempoh penajaan mestilah tidak terikat dengan kontrak perkhidmatan sama ada secara tetap atau kontrak atau sambilan di agensi awam termasuk badan berkanun, pihak berkuasa tempatan atau mana-mana agensi swasta supaya pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang pelajar. Obligasi ikatan kontrak berkhidmat bagi penajaan JPA yang diterima terdahulu hendaklah diuruskan sewajarnya berdasarkan dasar-dasar penajaan yang berkuat kuasa;

(j) Program Ijazah Sarjana yang dimohon bukanlah program yang dinilai taraf setaraf dengan Ijazah Sarjana Muda bagi tujuan pelantikan ke dalam Perkhidmatan Awam. Sebagai contoh, Kerajaan telah menetapkan bahawa kelayakan Master of Engineering (M.Eng) dari universiti-universiti di United Kingdom hanya layak digunakan untuk tujuan pelantikan ke jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan atau RIBA Part II bagi pengajian seni bina yang mana ia hanya diiktiraf setaraf Ijazah Sarjana Muda Seni Bina sahaja;

(k) Pelajar perlu memulakan pengajian sebelum atau pada 31 Disember pada tahun permohonan; dan

(l) Bagi tujuan melanjutkan pengajian ke peringkat lanjutan/ yang lebih tinggi, pelajar tajaan biasiswa perlu memohon penggantungan kontrak berkhidmat manakala pelajar tajaan Pinjaman Boleh Ubah perlu memohon penangguhan bayaran balik pinjaman. Tempoh penggantungan kontrak/ penangguhan bayaran balik pinjaman yang akan dipertimbangkan adalah mengikut tempoh asal pengajian.

*Tertakluk kepada dasar penajaan semasa

Syarat Khusus

Kelayakan minimum akademik permohonan adalah seperti berikut:

(a) Memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) minimum 3.50 atau setara pada pengajian peringkat Ijazah Pertama dalam Negara atau luar Negara; atau

(b) Bagi negara United Kingdom, Australia, New Zealand dan Jepun, kelayakan akademik minimum di peringkat Ijazah Pertama adalah seperti berikut:

UNITED KINGDOM AUSTRALIA / NEW ZEALAND JEPUN
70% & ke atas 85% & ke atas 85% A+B (50%A)*

*85% A+B - Jumlah gred A dan B yang diperoleh adalah sekurang-kurangnya 85% dan 50% daripada jumlah tersebut perlu mendapat gred A.

Institusi Pengajian

Penajaan akan dipertimbangkan bagi pemohon yang mendapat tempat pengajian di universiti luar negara yang tersenarai di kedudukan 100 teratas QS World University Ranking.

Bidang Pengajian
  1. Science, Technology; Engineering and Mathematics (STEM)
  2. Ekonomi
  3. Undang-Undang
  4. Kewangan Islam
  5. Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence)
  6. Peralihan Tenaga
  7. Keselamatan dan Persempadanan Negara
  8. Keterjaminan Makanan
  9. Pengurusan Bencana
  10. Keselamatan Siber
  11. Transformasi Digital

Bidang pengajian perubatan, pergigian, farmasi, pendidikan, kejururawatan, kursus yang mewajibkan pelajar mengambil lesen seperti lesen penerbangan dan kursus profesional seperti ACCA dan Certificate in Legal Practice (CLP) adalah tidak ditaja.